Tuesday, December 14, 2010

Risiko Menggunakan Label "Sastera Islam"

Apabila kita berbincang dengan menggunakan label "sastera Islam", ada beberapa risiko yang automatis muncul:

1. Dengan sendirinya apabila kita menggunakan label "sastera Islam", maka kita akan segera melabel mana-mana karya yang tidak kita masukkan dalam senarai "sastera Islam" sebagai karya "bukan sastera Islam".

Penggunaan label "sastera Islam" dan "bukan sastera Islam" akan disama-ertikan dengan label "halal" dan "haram".

Sebagai contoh, apabila pada anggapan kita novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad dan novel Salina oleh A Samad Said tidak layak dimasukkan ke dalam senarai "sastera Islam" maka secara logiknya novel itu akan dimasukkan ke dalam senarai "bukan sastera Islam".

2. Dengan sendirinya karya-karya yang kita anggap "bukan sastera Islam" itu akan kita katakan sebagai "tidak boleh diterbitkan, dan tidak boleh dibaca".

Sebagai contoh ada ahli-ahli ilmu sastera yang mengatakan kedua-dua buah novel itu "bukan sastera Islam" dan menolak karya-karya itu sebagai "sastera", malah ada ahli teori sastera yang menyamakan novel-novel itu setaraf dengan sampah.

Yang menjadi isu di sini adalah konsep "sastera Islam" itu sendiri. Konsep "sastera Islam" adalah ciptaan individu-individu yang juga merupakan ahli-ahli teori sastera, dan mereka adalah manusia biasa yang tidak maksum.

Malah antara sesama ahli teori sastera itu mereka mengemukakan konsep masing-masing. Jumlah konsep "sastera Islam" yang dikemukakan itu sama banyak dengan jumlah ahli teorinya. Masing-masing mengemukakan definisi dan kriteria masing-masing.

Apa yang mereka kemukakan sebagai konsep "sastera Islam" itu bukan merupakan sesuatu yang berstatus "fakta", melainkan "pendapat ilmiah" mereka sahaja.

Penggunaan label-label "sastera Islam" dan "sastera bukan Islam" telah menyebabkan kita terlupa akan adanya satu lagi kategori karya sastera yang hukumnya "harus diterbitkan" dan "harus dibaca" walaupun karya itu tidak menepati semua kriteria yang diajukan oleh ahli-ahli teori sastera itu.

Termasuk dalam kategori karya sastera yang "harus diterbitkan" dan "harus dibaca" adalah karya-karya bermutu tinggi yang mesejnya positif hasil tulisan pengarang-pengarang bukan Islam.


.

No comments: