Friday, December 17, 2010

Model Genre Kreatif Islam

Banyak perbincangan telah ditulis berkenaan konsep sastera Islam. Banyak definisi sudah dikemukakan, dengan jumlah definisi yang sama banyak dengan ahli teori yang mengemukakannya.

Selain definisi, perkembangan teori sastera Islam memerlukan supaya ahli-ahli teorinya mengemukakan model-model ideal bagi setiap genre yang dapat dianggap sebagai model Islam yang ideal.

Model-model itu diperlukan oleh:

1. Para penulis yang mahu menghasilkan karya Islami.

2. Para penerbit sastera Islam bagi memastikan mereka tidak tersalah memilih manuskrip.

3. Para anggota panel hakim dalam pelbagai pertandingan, hadiah dan anugerah supaya mereka mempunyai garis panduan penilaian yang konseptual dan juga teknikal tentang unsur-unsur yang perlu dinilai dengan menggunakan kayu ukur yang betul.

Penerbit dan penulis sastera Islam memerlukan model-model genre kreatif Islami kerana faktor-faktor berikut:

1. Bagi memastikan kita tidak menyebarkan unsur-unsur yang tidak selaras dengan Islam yang mungkin terdapat di dalam buku-buku yang diterbitkannya.

2. Rumah penerbitan perlu mempunyai (a) dasar editorial dan (b) manual menapis manuskrip yang diterima dari penulis-penulis.

3. Para editor perlu mempunyai manual editing yang menyenaraikan secara teknikal unsur-unsur yang memerlukan pembetulan sebelum sesuatu manuskrip itu layak diterbitkan.

4. Penulis-penulis perlu mengetahui secara teknikal unsur-unsur yang boleh menyebabkan manuskrip mereka ditolak oleh penerbit.

5. Dengan mempunyai model-modelnya sendiri, penulis dan penerbit dapat menerbitkan karya-karya kreatif yang mempunyai USPnya (unique selling point) sendiri, yang membezakan buku-bukunya daripada buku-buku lain dalam pasaran.

USP adalah faktor paling penting bagi mencipta apa yang disebut 'posisi-produk' (product-positioning).

Teori dan teknik surah Yusuf adalah suatu usaha bagi mengemukakan suatu model ideal karya sastera yang indah.



.

Tuesday, December 14, 2010

Risiko Menggunakan Label "Sastera Islam"

Apabila kita berbincang dengan menggunakan label "sastera Islam", ada beberapa risiko yang automatis muncul:

1. Dengan sendirinya apabila kita menggunakan label "sastera Islam", maka kita akan segera melabel mana-mana karya yang tidak kita masukkan dalam senarai "sastera Islam" sebagai karya "bukan sastera Islam".

Penggunaan label "sastera Islam" dan "bukan sastera Islam" akan disama-ertikan dengan label "halal" dan "haram".

Sebagai contoh, apabila pada anggapan kita novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad dan novel Salina oleh A Samad Said tidak layak dimasukkan ke dalam senarai "sastera Islam" maka secara logiknya novel itu akan dimasukkan ke dalam senarai "bukan sastera Islam".

2. Dengan sendirinya karya-karya yang kita anggap "bukan sastera Islam" itu akan kita katakan sebagai "tidak boleh diterbitkan, dan tidak boleh dibaca".

Sebagai contoh ada ahli-ahli ilmu sastera yang mengatakan kedua-dua buah novel itu "bukan sastera Islam" dan menolak karya-karya itu sebagai "sastera", malah ada ahli teori sastera yang menyamakan novel-novel itu setaraf dengan sampah.

Yang menjadi isu di sini adalah konsep "sastera Islam" itu sendiri. Konsep "sastera Islam" adalah ciptaan individu-individu yang juga merupakan ahli-ahli teori sastera, dan mereka adalah manusia biasa yang tidak maksum.

Malah antara sesama ahli teori sastera itu mereka mengemukakan konsep masing-masing. Jumlah konsep "sastera Islam" yang dikemukakan itu sama banyak dengan jumlah ahli teorinya. Masing-masing mengemukakan definisi dan kriteria masing-masing.

Apa yang mereka kemukakan sebagai konsep "sastera Islam" itu bukan merupakan sesuatu yang berstatus "fakta", melainkan "pendapat ilmiah" mereka sahaja.

Penggunaan label-label "sastera Islam" dan "sastera bukan Islam" telah menyebabkan kita terlupa akan adanya satu lagi kategori karya sastera yang hukumnya "harus diterbitkan" dan "harus dibaca" walaupun karya itu tidak menepati semua kriteria yang diajukan oleh ahli-ahli teori sastera itu.

Termasuk dalam kategori karya sastera yang "harus diterbitkan" dan "harus dibaca" adalah karya-karya bermutu tinggi yang mesejnya positif hasil tulisan pengarang-pengarang bukan Islam.


.

Friday, December 10, 2010

Apakah Novel 'Salina' Karya SN A Samad Said Sebuah Karya Islam?

Pada masa ini banyak perbincangan berlaku berkenaan teori sastera Islami. Hasil daripada perbincangan itu adalah usaha mengenal pasti karya mana yang dapat diterima sebagai karya Islami dan bukan-Islami.

Karya yang tidak mematuhi syariah, dan dengan demikian tidak boleh diterima sebagai karya Islami mempunyai salah satu dari ciri-ciri di bawah, ataupun kesemuanya:

1. Karya itu mempromosi idea bahawa Tuhan tidak wujud.

Contoh karya yang tergolong dalam kategori ini adalah karya yang menyokong falsafah teori evolusi, yakni mood intelektual dalam karya itu mendakwa bahawa teori itu benar, ataupun boleh mencipta kesan ke atas pemikiran pembaca sehingga pembaca terpengaruh akan kemungkinan teori itu benar.

2. Karya itu mempromosi idea-idea yang tidak selaras dengan ajaran dalam Quran dan hadith.

Dalam kes ini, karya itu menyokong falsafah-falsafah, ataupun pendapat-pendapat, yang tidak selaras dengan ajaran Quran dan sunnah.

Sebagai contoh karya itu menyokong dan mendukung pandangan bahawa politik dan agama hendaklah dipisahkan.

Jika dalam karya itu terdapat watak-watak yang berbincang tentang teori bahawa politik dan agama perlu dipisahkan, di mana ada watak yang pro dan ada yang kontra, tetapi hujah yang menolak teori itu dikemukakan dengan lebih kuat, maka karya itu boleh diterima.

Dalam contoh lain, jika karya itu mendukung idea bahawa sembahyang sudah cukup dilakukan dengan berniat sahaja, dengan mengemukakan hujah dan alasan yang memihak kepada idea itu, maka karya itu tidak boleh diterbitkan.

Dalam contoh lain, karya itu menimbulkan mood bahawa poligami adalah sesuatu yang mesti ditentang dan undang-undang hendaklah diadakan bagi menyekat amalan itu. Ataupun, karya itu menggalakkan isteri supaya jangan takut meminta cerai apabila menghadapi masalah rumah tangga. Malah karya itu menganggap isteri yang takut meminta cerai adalah perempuan bodoh.

3. Karya itu menimbulkan kesan psikologi dan emosi yang menyebabkan timbulnya keinginan mahu melakukan sesuatu yang dilarang oleh Quran dan hadith.

Contoh perkara yang dilarang adalah memberi rasuah, berjudi, meminum arak, mendedahkan aurat, menjalin hubungan cinta luar nikah, meminta cerai dan banyak lagi.

Sebagai contoh dalam karya itu terdapat babak-babak dan ayat-ayat, yang apabila dibaca boleh menyebabkan timbulnya perasaan berahi seks pada diri si pembaca, sehingga pembaca ingin merasai perbuatan yang bersifat seksual seperti dia ingin berasmara, ingin bercumbu-cumbu dan yang seperti itu.

4. Karya itu memberi kemenangan moral kepada si pedosa, yakni watak yang melakukan perbuatan salah.

Sebagai contoh, novel itu menceritakan watak peniaga yang melakukan rasuah berjaya hidup makmur dan kaya raya, manakala watak peniaga yang tidak mahu terlibat dengan rasuah mengalami kerugian dan kegagalan bisnes.

5. Karya itu memberikan status rendah kepada Islam, manakala agama lain diberikan status yang lebih tinggi dan mulia.

Sebagai contoh, dalam karya itu watak lelaki yang beragama Kristian berjaya meyakinkan kekasihnya yang beragama Islam supaya masuk Kristian, dan hasilnya pasangan itu berkahwin dan hidup bahagia.

Kembali kepada persoalan apakah novel 'Salina' karya Sasterawan Negara A Samad Said sebuah novel Islam?

Yang jelas, 'Salina' tidak mempunyai kelima-lima ciri di atas. Maka, apakah 'Salina' dapat diberikan label 'novel Islam' ataupun label 'novel bukan Islam'?

Allah jualah yang maha mengetahui.


.

Wednesday, December 8, 2010

Apa Asas Menulis Novel Islam?

Adakah menulis novel sebagai aktiviti berdakwah sesuatu yang ada presedennya?

Nabi Muhammad pernah mempunyai seorang penyair sebagai pembantu khas beliau dengan tugas mengarang puisi bagi membalas perbuatan musuh beliau yang mencerca beliau dengan menggunakan puisi. Justeru, menggunakan puisi sebagai alat dakwah mempunyai presedennya.

Hal yang sama tidak ada dalam kes novel. Nabi Muhammad tidak pandai menulis, justeru beliau tidak pernah menulis novel. Beliau juga tidak pandai membaca, justeru beliau tidak pernah membaca novel. Malah beliau tidak pernah mempunyai pembantu khas yang ditugaskan menulis novel sebagai alat aktiviti berdakwah.

Novel sebagaimana yang kita kenali pada hari ini pun belum dicipta pada masa Nabi Muhammad hidup. Jadi, apakah yang menjadi asas aktiviti penulisan novel?

Menulis cerita panjang, istilah sekarang ‘novel’, ada sunnahnya, dalam Quran.

Kitab Quran itu penuh dengan pelbagai cerita, daripada cerita yang ringkas-ringkas kepada cerita yang panjang. Ini bermakna cerita menjadi alat penting bagi menyampaikan mesej dakwah.

Nabi Muhammad, walaupun beliau tidak menulis cerita, tetapi beliau banyak menggunakan cerita bagi menyampaikan mesej sebagaimana yang terdapat dalam rekod autentik dan verbatim tentang kata-kata yang beliau pernah ucapkan.

Cerita yang paling panjang dalam Quran adalah cerita Nabi Yusuf.

Ada beberapa keistimewaan yang terdapat pada surah Yusuf. Puan Ainon Mohd. dan En. Faris Hasbullah pernah membuat kajian ke atas surah Yusuf dan berikut adalah beberapa penemuan mereka:

1. Jumlah ayat dalam surah Yusuf adalah 111 ayat.

Dengan jumlah itu, dibandingkan dengan nabi-nabi lain, Nabi Yusuf adalah nabi yang paling banyak ayat berkenaan kisah hidupnya. Kisah Nabi Yusuf adalah kisah yang paling lengkap berkenaan sejarah hidup seorang nabi dalam Quran, di mana ia bermula semenjak Nabi Yusuf kecil sehinggalah beliau dewasa.

Semua ayat berkenaan kisah hidup Nabi Yusuf terkumpul dalam satu surah khas, yakni surah Yusuf. Ini berbeza dengan ayat-ayat berkenaan kisah nabi-nabi lain yang tidak terkumpul dalam surah yang dinamai sempena nama masing-masing.

2. Cerita berkenaan Nabi Yusuf dimulakan dengan ayat prolog yang bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu, wahai Muhammad, sebuah kisah yang paling indah.”

Ayat ini membayangkan bahawa sebuah cerita yang indah itu mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang terdapat pada jalan cerita, perwatakan, gaya penceritaan dan gaya bahasa yang digunakan dalam surah Yusuf.

Ayat ini juga membayangkan, apa yang ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah dibenarkan dalam teori novel Islami, dan begitu pula sebaliknya, apa yang tidak ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah tidak diterima sebagai unsur novel Islami.

3. Kisah indah Nabi Yusuf diturunkan kepada Nabi Muhammad sewaktu beliau masih berada di Mekah, yakni sebelum beliau berpindah ke Madinah.

Sebagaimana yang diketahui, mesej dalam ayat-ayat Quran yang diturunkan di Mekah hanyalah berkenaan asas-asas sistem kepercayaan dalam Islam.

Fakta bahawa surah Yusuf diturunkan di Mekah membayangkan bahawa dalam Islam, fungsi kisah-kisah indah, yakni fungsi novel Islami, adalah sebagai alat bagi mendorong pembaca ataupun pendengar supaya mengubah sistem kepercayaan dan keyakinan mereka.

Ringkasnya begini, apabila kita mahu seseorang itu mengubah sistem keyakinannya, ceritakan kepadabya sebuah kisah yang indah, yang relevan dengan konteks orang itu. Umpamanya, apabila kita mahu mendorong seseorang supaya jangan berputus asa, maka ceritakan kepadanya sebuah kisah yang relevan dengan diri orang itu.


.

Tuesday, December 7, 2010

Definisi Sastera Islam

Sekian lama kita membincangkan konsep sastera Islam dengan menggunakan istilah "sastera Islam".

Penggunaan istilah "sastera Islam" menyebabkan timbulnya lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah.

Masalah yang paling panas dibincangkan dan polemik yang tak habis-habisnya adalah polemik tentang definisi teknikal apa itu yang dikatakan karya sastera Islam.

(a) Ada yang mengatakan sastera Islam mesti ditulis oleh orang beragama Islam sahaja.

Maka timbul isu bagaimana status sastera agung dunia yang ditulis oleh orang bukan Islam yang kandungannya tidak bertentangan dengan Islam. Apakah Islam menolak keluar khazanah itu daripada khazanah dunia yang bermanfaat dibaca oleh orang Islam?

Juga bagaimanakah status karya-karya yang ditulis sebelum si penulis masuk Islam, ataupun sebelum si penulis keluar Islam.

(b) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mesti ditulis dengan adanya niat mahu menulis kerana Allah semata-mata.

Maka timbul isu bagaimanakah kriteria ini dapat dipastikan kerana isu niat si penulis adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh yang empunya diri. Bagaimana mungkin seseorang itu mengetahui apa niat individu lain.

Juga, niat yang betul tidak menjamin karya yang dihasilkan itu Islamik.

(c) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mestilah kandungannya dengan terang dan jelas selaras dengan worldview Islam.

Maka timbul masalah kekaburan tentang kriteria keselarasan kandungan karya dengan worldview Islam. Sebagai contoh, bagaimanakah status karya yang bertemakan worldview Syiah, apakah ia dapat diterima sebagai sastera Islam dalam konteks masyarakat yang anti-syiah?

Sementara tokoh-tokoh sastera terus ghairah berpolemik, ketiga-tiga isu di atas mempunyai implikasinya ke atas aktiviti penerbitan karya sastera:

(i) Dasar perniagaan sesebuah syarikat penerbitan

(ii) Dasar editorial bagi penerbit yang fokus pada penerbitan karya sastera Islami.

Bagi PTS, sesebuah karya itu dikategorikan sebagai tidak mematuhi syariah, dan dengan demikian tidak boleh diterbitkan, apabila terkandung di dalamnya salah satu dari ciri-ciri di bawah, ataupun kesemuanya:

1. Karya itu mempromosi idea bahawa Tuhan tidak wujud.

2. Karya itu mempromosi idea-idea yang tidak selaras dengan ajaran dalam Quran dan hadith.

3. Karya itu menimbulkan kesan psikologi dan emosi yang menyebabkan timbulnya keinginan mahu melakukan sesuatu yang dilarang oleh Quran dan hadith.

4. Karya itu tidak memberi kemangan moral kepada watak jahat.

5. Karya itu tidak meletakkan Islam lebih rendah daripada kepercayaan lain.

Allah jualah yang maha mengetahui.


.